Wednesday, May 14, 2008
Hindraf 5 kekal di bawah ISA
Hindraf 5 kekal di bawah ISA
Soon Li Tsin | May 14, 08 12:17pm
Lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) akan kekal ditahan di pusat tahanan Kamunting di Taiping, Perak, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka supaya dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam penghakimannya pagi ini, Hakim Besar Malaysia yang juga pengerusi panel hakim, Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata arahan penahanan yang dikeluarkan oleh menteri keselamatan dalam negeri pada 13 Disember tahun lalu adalah sah dan memenuhi semua keperluan di bawah ISA.
Menurutnya, panel tiga orang hakim mahkamah tertinggi di negara ini, bersetuju dengan keputusan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz yang memutuskan bahawa menteri berkenaan boleh mengarahkan seseorang itu ditahan mengikut Seksyen 8, ISA pada 26 Februari lalu.
Alauddin berkata, perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kapasitinya sebagai menteri keselamatan dalam negeri, mempunyai hak untuk mengeluarkan arahan tahanan dan telah memenuhi keperluan prosedur di bawah akta tersebut.
Ia dipersetujui sebulat suara oleh dua lagi hakim - Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Hashim Mohd Yusoff apabila penghakiman diumumkan pada jam 11 pagi ini.
Permohonan semak penghakiman
Keputusan hari ini bermakna lima pemimpin Hindraf itu telah menggunakan semua ruang perundangan dan akan terus ditahan di bawah ISA, yang membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.
Dalam permohonan habeas corpus mereka, kelima-limanya berhujah bahawa penahanan mereka adalah haram kerana alasan yang diberikan adalah tidak jelas mengapa mereka ditahan.
Lima pemimpin Hindraf itu - M Manohan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Peguam mereka, Gobind Singh Deo berkata, beliau kecewa dengan keputusan hari ini dan menambah pihaknya akan memfailkan permohonan supaya Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya Isnini depan.
"Kita kecewa dengan keputusan yang ringkas dan tidak menyentuh isu-isu yang dibangkitkan di segi undang-undang untuk dipertimbangkan.
"Kami berhasrat untuk memohon satu semakan semula dan kami akan mengemukakan permohonan itu Isnin ini," katanya kepada Malaysiakini.
Tahanan ISA itu turut diwakili oleh Karpal Singh dan anaknya Ram Karpal. Hadir mewakili kerajaan ialah peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kelima-lima mereka ditahan mengikut Seksyen 8(1) ISA atas arahan Abdullah.
Mereka dihantar terus ke Kem Tahanan Kemunting, untuk ditahan selama dua tahun, tanpa terlebih dahulu menjalani tempoh siasatan selama 60 hari.
Kelima-lima mereka menjadi terkenal selepas menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh 30,000 kaum India di ibunegara pada 25 November lalu untuk membantah peminggiran kaum tersebut.
Pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.
Para peguam Hindraf kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan manakala sebilangan mereka yang menyertai perhimpunan tersebut telah didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan percubaan membunuh.
Penyokong mereka bagaimanapun, mendakwa, kelima-lima pemimpin Hindraf itu - empat daripadanya peguam - hanyalah membangkit isu-isu yang membabitkan kaum India.
Pelbagai pihak termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA dan Gerakan, turut menggesa kerajaan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment