Thursday, June 5, 2008

Wakil rakyat bantah ISA di Kamunting


Wakil rakyat bantah ISA di Kamunting
Abdul Rahim Sabri Jun 5, 08 2:58pm
Beberapa ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) di Perak turut serta dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan kem tahanan Kamunting, Sabtu ini.

"Saya difahamkan ada beberapa ahli parlimen dan Adun Perak akan turun ke perhimpunan ini," kata pengarah kempen 'bebaskan tahanan enam tahun ISA', Norlaila Othman kepada Malaysiakini.

Kempen itu yang digerakkan oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI) dijangka dihadiri 1,000 penyokong gerakan itu.

Menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun tidak akan hadir, tambahnya, "tetapi beliau akan memberi sokongan padu kepada GMI."

Menurut Norlaila lagi, perhimpunan itu berlangsung selama sejam bermula pada 8 malam 7 Jun ini.
Perhimpunan itu diadakan sebagai kempen membebaskan 10 tahanan, termasuk suami Norlaila, yang meringkuk di kem itu selama enam tahun atas tuduhan terbabit dalam gerakan militan Islam.

Suaminya Mat Sah Mohamad Satray, yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI).Menurut Norlaila, polis telah memanggil wakil GMI di Perak untuk sesi perbincangan mengenai perhimpunan tersebut.

"Polis akan bertindak sekiranya ada pebuatan yang tidak diingini berlaku, seperti ceramah yang panjang, peserta bersorak, mengganggu lalulintas dan membuat provokasi.

"(Pihak) GMI memberi jaminan (kepada pihak polis) ia dijalankan secara aman," jelasnya.

Pihak GMi mengalu-alukan kerjasama polis untuk menjaga ketertiban di acara itu, katanya.

Penyelaras perhimpunan ini, Megat Shariffudin Ibrahim mengesahkan bahawa pihaknya telah berbincang soal keselamatan dengan polis Taiping.

Sehubungan itu, Megat Shariffudin telah memohon permit polis untuk perhimpunan ini di balai polis Taiping pada Selasa yang lepas.

"Mereka berjanji untuk memberi keputusan (kebenaran berhimpun) pada hari ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jika tiada permit berhimpun dikeluarkan, jelasnya lagi, GMI akan tetap mengadakan acara tersebut seperti dijadualkan.

Tambahnya, program yang akan dijalankan pada malam itu, antara lain, taklimat daripada pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan ucapan isteri dua tahanan ISA, termasuk Norlaila.

"Tetapi sekiranya ada Yang Berhormat (wakil rakyat) yang hadir ingin berucap, kita akan memberi ruang," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perhimpunan ini bukan perhimpunan politik, tetapi menuntut hak asasi manusia.

No comments: